Sunday, February 26, 2012

Selebriti Meriahkan Karnival ARMY

Ismail (tiga,kanan) dan Danny (dua,kiri) menunjukkan jersi yang akan dipakai dalam perlawanan amal sempena Karnival ARMY pada Sabtu ini.
KOTA BHARU – Satu perlawanan amal bertujuan mengutip derma bagi disumbangkan kepada penyokong bola sepak Kelantan yang ditimpa musibah antara beberapa aktiviti menarik yang akan memeriahkan sambutan ulang tahun pertama Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 25 Februari ini.
Pengerusi ARMY Datuk Ismail Md Noor, berkata, selain perlawanan amal melibatkan pasukan pasukan orang kenamaan (VIP) menentang pasukan selebriti, turut berlangsung ialah perlawanan persahabatan antarabangsa, Kelantan menentang kelab Singapore Armed Forces (SAF) pada sebelah malam tersebut.
“Kutipan derma hasil jualan tiket RM2 (terbuka) dan RM20 (astaka) akan disalurkan terus kepada Tabung Kebajikan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). Ia akan disumbangkan kepada penyokong Kelantan yang ditimpa kemalangan selain anak seniman agung terkenal Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Sazali yang terlantar sakit akibat kemalangan dua bulan lalu.
“Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dijangka merasmikan karnival tersebut. Serentak dengan itu juga berlangsung majlis menandatangani perjanjian kerjasama (MoU) di antara pihak Kafa dengan pemaju yang akan membina stadium baru. Turut berlangsung ialah majlis penyerahan tajaan Mamee selaku penaja baru The Red Warriors pada musim ini.
“Acara sampingan lain ialah pertunjukan gasing terbang selain pameran oleh barisan penaja. Orang ramai yang berminat untuk berniaga juga boleh menyewa gerai jualan yang disediakan dan mereka boleh menghubungi pihak Kafa bermula sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kota Bharu semalam. Hadir sama ialah Ahli Lembaga Pengarahnya, Azlan Mohd Yusoff  dan Husin Deraman, Danny X-Factor serta Pengurus Pasukan Selebriti, Nik Radhi Nik Abdullah.
Antara selebriti lelaki yang akan beraksi ialah Ridzuan Hashim, Yantzen, Danny X-Factor, Fizo Omar, Syed Aiman, Kaza, Zahid AF, Hairi Kool, Zimi Sofaz manakala selebriti wanita ialah Ramona Zam Zam, Mas Muharni, Aida AF dan Mimi Ernida.
Ismail yang juga Naib Presiden Kafa berkata, satu kejohanan bola sepak berbentuk kalah mati melibatkan 14 pasukan ARMY di bawah 14 dan 16 tahun daripada tujuh daerah turut berlangsung pada hari tersebut.
“Kita akan memilih penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang terbaik. Pemain terbaik keseluruhan pula akan diterbangkan ke Old Trafford bagi menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris membabitkan kelab Manchester United,” katanya.
Sementara itu Danny X-Factor yang mewakili rakan selebriti ketika ditemui melahirkan perasaan teruja di atas pembabitan golongan artis bagi menjayakan karnival tersebut.
“Ia bukan sekadar berhibur tetapi turut mengajak peminat di Kelantan menderma sambil beramal. Kita akan turun padang menjual tiket perlawanan dan orang ramai boleh mengambil kesempatan bersua dengan rakan artis pada hari tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment