Showing posts with label Makanan. Show all posts
Showing posts with label Makanan. Show all posts

Sunday, May 13, 2012

SERUNDING KG. LAUT TUMPAT KELANTAN KR LUAR NEGARA





SEBUT sahaja sambal daging dari Kampung Laut, Tumpat, pasti ramai yang tahu mengenai keenakan serunding itu terutama penduduk di negeri Kelantan.


Sudah 20 tahun serunding kampung tersebut berada dalam pasaran dan sentiasa mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.


Sehingga kini terdapat seramai 52 pengusaha serunding di kampung itu yang menghasilkan bertan-tan serunding setiap minggu dan Perusahaan Serunding Wan Esah Wan Husin atau lebih dikenali sebagai Sambil Daging Mak Sah merupakan salah satu yang terkenal di kampung berkenaan.


Serunding Mak Sah bukan sahaja dijual sekitar Tumpat dan Kota Bharu tetapi juga di luar Kelantan termasuk di Pekan Rabu, Alor Setar dan Kuala Lumpur serta Putrajaya.


Keistimewaan serunding Mak Sah terletak pada ramuan rempah-ratusnya. Rasanya yang sedikit pedas menambahkan lagi selera penggemar serunding tersebut.


Sebab itu perusahaan serunding keluarga Mak Sah mampu menghasilkan lebih 100 kilogram serunding setiap hari untuk diedarkan ke seluruh negara.


Walaupun Mak Sah kini sudah bersara daripada perusahaan serunding itu, anak-anaknya meneruskan perusahaan tersebut termasuk Che Hasmah Hassan yang merupakan pesara guru dan giat memasarkan serunding tersebut termasuk merancang untuk memasarkannya ke luar negara.


Menurut Che Hasmah, serunding Kampung Laut telah lama dibawa ke luar negara. Tetapi bukan secara komersial, sebaliknya dijadikan bekalan untuk kegunaan sendiri oleh rakyat tempatan yang ke luar negara dalam tempoh yang lama.


Impian mengkomersialkan serunding di luar negara bakal menjadi realiti tidak lama lagi apabila perusahaan serunding keluarga itu akan beroperasi di sebuah kilang di bawah Projek Diraja Kelantan (PDRK) menerusi kerjasama dengan Itqaan Ventures Sdn. Bhd. di Kubang Panjang, Tumpat.


Langkah itu bukan sahaja akan dapat meningkatkan lagi produktiviti pengeluaran serunding tetapi juga dapat mematuhi Amalan Pengeluaran Yang Baik (GMP) yang menjadi syarat penting dalam memasarkan barangan makanan ke pasaran luar negara.


Che Hasmah berkata, negara yang menjadi tumpuan adalah lokasi yang permintaan produk halal tinggi khususnya yang mempunyai ramai rakyat Malaysia seperti London, Ireland, Brunei, Arab Saudi dan China.


"Kalau pork floss boleh memasuki pasaran London kenapa beef floss atau serunding daging kita tidak boleh dijual di negara berkenaan," ujarnya yang memasarkan serunding di bawah jenama Haswide.


Beliau yakin serunding keluaran keluarganya akan mendapat sambutan yang baik di negara berkenaan kerana selama ini sudah beribu kilogram ia dibawa ke luar negara. Ia menerusi rakyat Malaysia yang mahu membawa makanan tempatan bersama sebagai bekalan terutama di kalangan jemaah haji dan pelajar Malaysia.


"Serunding kami boleh bertahan selama setahun tanpa dimasukkan ke dalam peti sejuk," katanya yang turut menghasilkan serunding ayam, ikan, udang dan cendawan.


Pemilik syarikat Hasmah Wide Enterprise tersebut berkata, serunding itu mampu bertahan lama kerana daging dan ramuan yang digunakan direbus lebih daripada empat jam selain dikeringkan dengan cara yang betul.


Namun katanya, tanpa amalan pengilangan yang baik adalah sukar untuk mereka menembusi pasaran antarabangsa secara komersial.


Menurutnya, langkah memperluaskan perusahaan itu melalui pembinaan kilang dengan kerjasama Itqaan Ventures Sdn. Bhd. juga akan membolehkan mereka memenuhi permintaan terhadap serunding yang meningkat beberapa kali ganda menjelang sambutan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban.


"Apabila kilang itu beroperasi, kami mampu menghasilkan sehingga 500 kilogram serunding sehari kerana segala-galanya iaitu daripada merebus bagi melembutkan daging, mencarik, memasak sehingga pembungkusan akan menggunakan mesin.


"Lebih penting rasanya masih tetap sama. Kerja menyediakan serunding juga akan menjadi lebih cepat dengan penggunaan mesin.


"Sebagai contoh untuk mencarik 150 kilogram daging hanya akan mengambil masa 15 minit berbanding cara biasa yang boleh memakan masa sehingga enam jam," katanya.


Malah katanya, urusan merebus daging di kilang berkenaan juga hanya akan mengambil masa satu jam berbanding empat jam jika menggunakan kayu api seperti yang dilakukan sejak 20 tahun lalu.

Wednesday, March 14, 2012

Tuak Semakin Popular




Kelapa merupakan salah satu anugerah Tuhan yang banyak memberikan manfaat kepada manusia dalam kehidupan seharian. Segala yang berkaitan dengan pokok itu bermula daripada batang, daun, mayang dan buah mampu memberikan manfaat serta menjana pendapatan kepada mereka yang bijak menggunakan kelebihan yang ada pada pokok itu.
Selain air buahnya dijadikan minuman, daunnya digunakan untuk menganyam ketupat dan lidi sebagai penyapu.
Di samping itu mayang kelapa pula mampu mengeluarkan sejenis air yang boleh dijadikan minuman iaitu nira atau lebih dikenali sebagai 'tuak' di negeri ini.
Tuak kelapa merupakan sejenis minuman tradisi yang cukup popular di kalangan masyarakat negeri ini sebagai penghilang dahaga.
Tidak hairanlah minuman yang dihasilkan melalui keratan mayang kelapa itu mempunyai rasa enak dan lazat serta cukup laris ketika waktu panas dan setiap kali tiba bulan Ramadan.
Pengusaha minuman itu, Abdullah Ahmad, 70, berkata, setiap hari dia mampu menghasilkan 13 liter minuman tersebut daripada 15 batang pokok kelapa yang dimilikinya.
"Saya memungut tuak daripada mayang kelapa ini dua kali sehari iaitu pada pagi dan petang dengan setiap tuaian menghasilkan kira-kira 6.5 liter nira.
"Minuman itu dijual dengan harga RM3 bagi botol yang berisi 500 mililiter (ml).
"Selain tuak, saya turut menghasilkan manisan yang diperbuat daripada minuman tersebut untuk dimakan dengan ketupat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menceritakan bagaimana dia boleh menceburi bidang itu, Abdullah memberitahu, ia bermula secara kebetulan selepas memulakan projek tanaman kelapa mawar dan wangi di atas tanah miliknya yang terletak di Kampung Jubakar, dekat sini.
"Sebaik sahaja melihat mayang kelapa, terlintas di fikiran kenapa saya tidak cuba untuk menghasilkan tuak. Jadi bermula dari situlah saya belajar menghasilkan minuman tersebut.
"Masa mula-mula belajar, hampir setiap hari saya datang untuk melihat hasilnya. Selepas lapan hari barulah mayang kelapa tersebut mengeluarkan hasil.
"Dari situlah saya belajar dan terus belajar sehingga pandai menghasilkan minuman tersebut," katanya.
Tambahnya, kemahiran menghasilkan tuak itu diperturunkan kepada anaknya Zuhairi, 30.
Sementara itu, seorang penggemar tuak, Hassan Ali, 44, dari Kampung Chabang Empat, Tok Mek Ngah, Tumpat memberitahu, dia menggemari minuman itu disebabkan aroma dan rasanya yang enak.
"Air tuak cukup lazat diminum bersama ais. Rasanya sedikit masam bercampur manis mampu memberikan kepuasan kepada para penggemarnya.
"Tidak hairanlah minuman ini mendapat permintaan yang tinggi di kalangan para penggemarnya yang tahu akan keenakan rasa minuman ini," katanya.
Hassan memberitahu, setiap kali tibanya Ramadan, tuak akan mendapat sambutan tinggi sebagai minuman yang perlu ada sewaktu berbuka puasa.
"Sekarang agak sukar untuk mendapatkan tuak yang asli. Kebanyakan yang dijual telah dicampur dengan air gula dan ia akan merosakkan keaslian minuman tersebut.
"Ini boleh memberi kesan kepada mereka yang meminumnya seperti sakit perut. Jadi saya menasihati mereka yang menggemari minuman ini supaya berhati-hati," ujarnya.



                                                                                                                                       sumber: Utusan

Tuesday, January 31, 2012

Signatur Makana Kelantan



MEREKA yang menggemari keenakan sajian negeri Cik Siti Wan Kembang seperti nasi kerabu atau nasi dagang, Restoran Kelantan Delights boleh menjadi lokasi sesuai untuk berbuka puasa.

Lokasi yang terletak di Sooka Sentral, Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur amat strategik untuk dikunjungi terutama bagi mereka yang bekerja di kawasan sekitarnya.

Tarikan utama bufet Ramadan pada tahun ini pastinya lauk pauk dan manisan dari Kelantan. Menariknya, seleksi hidangan yang tidak terlalu banyak tetapi eksklusif membuatkan anda lebih mudah untuk memilih lantas menikmatinya.

"Menu kami sentiasa bertukar. Setiap hari sebanyak 12 aneka pilihan boleh dicuba. Juadah utama yang menjadi permintaan pelanggan setia ialah nasi kerabu dan nasi dagang.

"Kalau dua menu ini tidak ada, memang pengunjung akan tertanya-tanya. Jadi saya ambil keputusan untuk mengekalkan menu tersebut sepanjang Ramadan," jelas Pengerusi Eksekutif Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah.
Dalam pada itu, Kelantan Delights turut tidak lupa untuk menghidangkan pengunjung dengan menu popular dari negeri lain.

Bagaimanapun, bagi anda yang tidak mahu menikmati kedua-dua nasi tersebut tidak perlu bimbang. Ini kerana lauk pauk lain seperti ayam masak lemak cili api, ayam goreng rempah, siakap sambal, udang sambal dan ikan bakar disediakan untuk dimakan bersama nasi putih.

Tambah membangkitkan selera apabila anda boleh menikmati seleksi mi, bihun dan kuetiau sup. Uniknya, sup tersebut menggunakan ramuan rebusan tulang lembu.

Restoran yang turut menyediakan ruang makan ala kampung seperti sudut bersila dibuka sehingga pukul 9 malam. Selain itu, bagi anda yang ingin menikmati panorama indah kota Kuala Lumpur boleh memilih berbuka di ruang luar

Kelantan Syurga Makanan

Kaya Dengan Juadah Makanan

Negeri di Pantai Timur ini mempunyai potpuri budaya yang agak unik. Gabungan kaum Melayu, Cina, India dan masyarakat Thailand berjaya menyatukan pelbagai hidangan kepada 'hidangan Malaysia' sekaligus menjadikan ia sebagai satu tarikan kepada pelancong luar.
Anda mungkin tertawa tatkala mendengar nama kuih seperti Tahi Itik, Kuih Kartun, Badak Berendam, Abang Balik Gelisah, Che Abang Guling, Lompat Tikam, Lidah Buaya dan macam-macam lagi nama yang diberi. Namun, di sebalik nama yang pelik itu, rasanya amatlah lemak dan manis sekali.
Begitu juga dengan hidangan Nasi Kerabu, Nasi Berlauk, Nasi Tumpang, Laksam atau Solok Lada yang sinonim dengan Kelantan sehingga membuat anda terkenang-kenang keenakan makanan itu.
Menurut Pengarah Pelancongan Negeri Kelantan Muhammad Zaki Talib, Kelantan sememangnya kaya dengan pelbagai jenis makanan yang 'eksotik' namanya namun itulah hakikat betapa hebatnya aneka makanan tradisi negeri ini yang tidak akan kita jumpa di tempat lain.
Kuih-muih dan makanan tradisional Kelantan sebenarnya juga merupakan produk yang boleh dijual atas nama pelancongan sebagai daya tarikan melawat negeri ini.
Dengan kekuatan tarikan makanan dan kebudayaan ditambah dengan sikap ramah dan mudah mesra masyarakat Kelantan, negeri ini sentiasa bersedia untuk menerima kunjungan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara, katanya.
Sebagai contoh, Pesta Makanan Kelantan/Pesta Nasi 100 yang diadakan selama tiga hari bermula 01 Julai 2011 adalah bukti betapa kayanya masyarakat di negeri ini dengan pelbagai jenis makanan. Pendek kata, Kelantan sememangnya tersohor sebagai negeri yang mempunyai keunikan dan kepelbagaian makanan tersendiri.