Showing posts with label Rekod. Show all posts
Showing posts with label Rekod. Show all posts

Friday, May 11, 2012

Pameran Senjata Tradisional Di Kelantan


KOTA BHARU: Pameran 1,000 senjata tradisional Kelantan anjuran Perbadanan Muzium Negeri Kelantan pada Jun ini bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.
Pengarah PMNK Abdul Rahman Abdullah berkata pemeran seminggu itu, yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Sejarah dan Seni Warisan Purba Negeri Kelantan (Purba) di Muzium Negeri, dijangka menarik 10,000 pengunjung sempena Tahun Melawat Kelantan 2012. 
Bercakap kepada pemberita selepas menutup Pameran Kebudayaan Warisan Cina Kelantan di sini hari ini, beliau berkata pemeran itu adalah antara tujuh program anjuran PMNK sepanjang tahun ini untuk menarik pelancong ke Kelantan.

Antara bahan pameran itu nanti ialah senjata seligi, yang diperbuat daripada batang nibong diruncingkan, untuk dijadikan senjata melawan musuh pada zaman dahulu.

Peminat sejarah dan seni warisan yang memiliki artifak lama juga diminta turut menyertai pameran itu. -- BERNAMA

Tuesday, February 14, 2012

Rekod cemerlang Kelantan FM

RADIO Malaysia Kelantan FM mula beroperasi pada 16 November 1963, dan sejak itu tidak lagi menoleh ke belakang. Walaupun terpaksa bersaing dengan kemunculan stesen-stesen radio popular swasta, ternyata ia tidak menenggelamkan Kelantan FM.
Stesen itu kini mempunyai pendengar seramai 663,000 orang, menurut kajian terbaru AC Nielsen pada 2011. Hari ini, sejak lima tahun berturut-turut Kelantan FM merupakan stesen radio Malaysia atau radio kerajaan yang mempunyai jumlah pendengar radio yang tertinggi.
Radio itu bersiaran di frekuensi 102.9Mhz bagi pemancarnya di Telipot, 97.3Mhz (Bukit Bakar, Machang), 90.00Mhz (Jeli), 88.1Mhz (Paloh, Gua Musang), 92.0Mhz (Bukit Chupot, Gua Musang dan 107.1Mhz (Bukit Bintang, Besut, Terengganu).
Pendengarnya merupakan hampir separuh penduduk Kelantan iaitu yang mempunyai populasi seramai 1.4 juta orang.
Stesen radio itu juga berjaya meraih pendapatan melalui iklan sebanyak RM2.1 juta pada 2011. Ia merupakan pendapatan tertinggi antara stesen radio Malaysia.
Semasa melancarkan program baharu Kelantan FM baru-baru ini, Timbalan Pengarah Bahagian Urusan Rancangan Jabatan Penyiaran, Siti Mohani Saad menyifatkan kejayaan stesen radio itu adalah sesuatu yang sangat membanggakan jabatan.
Pada 2008, hasil pendapatannya sebanyak RM1 juta. Ia meningkat kepada RM1.8 juta pada tahun berikutnya dan terus meningkat kepada RM1.9 juta pada 2010.
"Jabatan ini sangat berbangga dengan peningkatan hasil pendapatan iklan Kelantan FM. Ia membolehkan kami mencapai KPI (petunjuk prestasi utama) iaitu pendapatan sebanyak RM21 juta di seluruh negara pada 2011," katanya.
Siti Mohani berkata, langkah Kelantan FM itu wajar dicontohi 33 stesen radio Malaysia yang lain.
"Stesen radio Malaysia yang lain perlu mencari kelainan dan kreatif untuk mencapai jumlah pendengar yang tinggi dan pendapatan lebih baik," kata Siti Mohani.
Pengarah Penyiaran Kelantan, Zainab Yusof berkata, antara resipi kejayaan Kelantan FM ialah siarannya yang menepati selera pendengar rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang.

Saturday, February 11, 2012

Patung Buddha Duduk dan TIdur

Wat Machimmaran yang berusia lebih 500 tahun di Kampung Bunuhan. Masyhur dengan kewujudan Sitting Buddha patung gergasi bersila dalam keadaan bertafakur itu berjaya menarik tumpuan jutaan penganut Nepal Thailand Laos Vietnam Jepun dan Korea. Apatah lagi ia direkodkan sebagai patung Buddha duduk terbesar di Asia Tenggara semenjak disiapkan pada 20o1 dengan ukuran ketinggian 30 meter panjang 47 meter dan keluasan dalam 22.25 meter persegi.
 Di Kampung Jambu sebuah patung Buddha tidur mengiring atau lebih dikenali dengan Sleeping Buddha nyata membuat ramai pengunjung merasa takjub. Dengan ukurann dari kepala ke kaki mencecah 40 meter panjang 11 meter tinggi dan 9 meter lebar sesiapa pun pasti percaya ia bukan monumen biasa. Tercatat sebagai patung kedua terpanjang di dunia terbesar dia Asia Tenggara sememangnya menjadi tarikan utama.

Monday, January 23, 2012

Pertandingan Burung Candik melakar Malaysia Book of Record

KOTA BAHARU  - Pertandingan burung candik sempena Festival Seni Budaya Kelantan 2011 di sini mencipta Malaysia Book Of Records apabila pertandingan itu disertai 1,294 ekor burung berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan berkata pesta itu mensasarkan 30,000 pengunjung selama empat hari mulai Jumaat lepas di pekarangan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, di sini.

Beliau berkata pertandingan unggas itu merupakan aktiviti sampingan sebagai tarikan pelancong melawat Kelantan, yang menyasarkan seramai 5.3 juta orang tahun ini.

"Pada mulanya, kita hanya mensasarkan 1,000 penyertaan burung candik sahaja tetapi kita menerima pendaftaran sehingga 1,294 ekor," katanya.

Beliau berkata karnival itu, anjuran kerajaan negeri menerusi Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan, merangkumi tiga acara yang dilangsungkan serentak iaitu Pesta Nasi 100, Festival Batik Songket & Kraf dan Karnival Kebudayaan.

Selain itu, beberapa acara menarik turut diadakan termasuk "Battle Of The Jogho", Paluan Gendang Gergasi dan Dikir Barat Antara Pihak Berkuasa Tempatan.

- BERNAMA

Bomba Kelantan cipta sejarah!

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan mencipta sejarah kerana tahun ini mendapat tempat ketiga dalam pertandingan inovasi sejak 22 tahun menyertai Konvensyen Kumpulan dan Kreatif Peringkat Kebangsaan.

Pengarah Bomba Negeri, Azmi Osman berkata, projek inovasi yang dihasilkan dinamakan ‘C- GAR 11’ berjaya mendapat tempat ketiga dan memenangi wang tunai RM2,000 serta sijil penyertaan sempena pertandingan kali ke 22 di MS Garden Hotel, Kuantan, Pahang Darul Makmur.

Menurutnya, terdapat 16 pasukan mempertaruhkan rekaan masing-masing dan projek hasil inovasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu yang diketuai oleh Wan Hassan Wan Idris juga ketua balai berkenaan terpilih sebagai pemenang ke tiga.

“Inovasi ini adalah hasil kreativiti yang direka oleh anggota kita sejak beberapa bukan lalu dan ia adalah pelbagai guna boleh dimanfaatkan ketika aktiviti menyelamat.

“Ini adalah satu kejayaan yang besar bagi jabatan sepanjang 22 tahun menyertai pertandingan ini dan hasil kreativiti pegawai dan anggota di negeri ini mendapat pengiktirafan,” katanya menerusi kenyataan medianya kepada Sinar Harian.

Selain itu, kejayaan yang turut boleh dibanggakan oleh warga bomba dan penyelamat Kelantan setelah Penarafan Bintang Jabatan Bomba Negeri berjaya menggondol Tiga Bintang.

“Kemenangan yang sungguh bermakna dan bersejarah bagi jabatan kerana ini semua adalah hasil berkat usaha dan gembleng tenaga seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan, dalam menjayakan pengauditan ‘Star Rating ‘ yang dilakukan oleh pegawai-pegawai kanan ibu pejabat Putrajaya dan Selangor pada 4 hingga 6 Oktober 2011 lalu,” katanya.

Sebelum ini, Projek Inovasi ‘C- GAR 11’ yang juga boleh digunakan sebagai pengusung mangsa kecemasan, tangga dan pelbagai lagi menjadi juara dalam pertandingan peringkat negeri yang diadakan pada bulan lalu.
“Saya berharap usaha padu ini dapat diteruskan dan semua warga jabatan perlu sentiasa memberi komitmen kepada tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita semua,” katanya.

sumber sinar harian