KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan mencipta
sejarah kerana tahun ini mendapat tempat ketiga dalam pertandingan
inovasi sejak 22 tahun menyertai Konvensyen Kumpulan dan Kreatif
Peringkat Kebangsaan.
Pengarah Bomba Negeri, Azmi Osman berkata, projek inovasi yang
dihasilkan dinamakan ‘C- GAR 11’ berjaya mendapat tempat ketiga dan
memenangi wang tunai RM2,000 serta sijil penyertaan sempena pertandingan
kali ke 22 di MS Garden Hotel, Kuantan, Pahang Darul Makmur.
Menurutnya, terdapat 16 pasukan mempertaruhkan rekaan masing-masing dan
projek hasil inovasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu yang
diketuai oleh Wan Hassan Wan Idris juga ketua balai berkenaan terpilih
sebagai pemenang ke tiga.
“Inovasi ini adalah hasil kreativiti yang direka oleh anggota kita
sejak beberapa bukan lalu dan ia adalah pelbagai guna boleh dimanfaatkan
ketika aktiviti menyelamat.
“Ini adalah satu kejayaan yang besar bagi jabatan sepanjang 22 tahun
menyertai pertandingan ini dan hasil kreativiti pegawai dan anggota di
negeri ini mendapat pengiktirafan,” katanya menerusi kenyataan medianya
kepada Sinar Harian.
Selain itu, kejayaan yang turut boleh dibanggakan oleh warga bomba dan
penyelamat Kelantan setelah Penarafan Bintang Jabatan Bomba Negeri
berjaya menggondol Tiga Bintang.
“Kemenangan yang sungguh bermakna dan bersejarah bagi jabatan kerana
ini semua adalah hasil berkat usaha dan gembleng tenaga seluruh warga
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan, dalam menjayakan
pengauditan ‘Star Rating ‘ yang dilakukan oleh pegawai-pegawai kanan ibu
pejabat Putrajaya dan Selangor pada 4 hingga 6 Oktober 2011 lalu,”
katanya.
Sebelum ini, Projek Inovasi ‘C- GAR 11’ yang juga boleh digunakan
sebagai pengusung mangsa kecemasan, tangga dan pelbagai lagi menjadi
juara dalam pertandingan peringkat negeri yang diadakan pada bulan lalu.
“Saya berharap usaha padu ini dapat diteruskan dan semua warga jabatan
perlu sentiasa memberi komitmen kepada tanggungjawab yang telah
diamanahkan kepada kita semua,” katanya.
sumber sinar harian
No comments:
Post a Comment