Wednesday, March 14, 2012

Tuak Semakin Popular




Kelapa merupakan salah satu anugerah Tuhan yang banyak memberikan manfaat kepada manusia dalam kehidupan seharian. Segala yang berkaitan dengan pokok itu bermula daripada batang, daun, mayang dan buah mampu memberikan manfaat serta menjana pendapatan kepada mereka yang bijak menggunakan kelebihan yang ada pada pokok itu.
Selain air buahnya dijadikan minuman, daunnya digunakan untuk menganyam ketupat dan lidi sebagai penyapu.
Di samping itu mayang kelapa pula mampu mengeluarkan sejenis air yang boleh dijadikan minuman iaitu nira atau lebih dikenali sebagai 'tuak' di negeri ini.
Tuak kelapa merupakan sejenis minuman tradisi yang cukup popular di kalangan masyarakat negeri ini sebagai penghilang dahaga.
Tidak hairanlah minuman yang dihasilkan melalui keratan mayang kelapa itu mempunyai rasa enak dan lazat serta cukup laris ketika waktu panas dan setiap kali tiba bulan Ramadan.
Pengusaha minuman itu, Abdullah Ahmad, 70, berkata, setiap hari dia mampu menghasilkan 13 liter minuman tersebut daripada 15 batang pokok kelapa yang dimilikinya.
"Saya memungut tuak daripada mayang kelapa ini dua kali sehari iaitu pada pagi dan petang dengan setiap tuaian menghasilkan kira-kira 6.5 liter nira.
"Minuman itu dijual dengan harga RM3 bagi botol yang berisi 500 mililiter (ml).
"Selain tuak, saya turut menghasilkan manisan yang diperbuat daripada minuman tersebut untuk dimakan dengan ketupat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menceritakan bagaimana dia boleh menceburi bidang itu, Abdullah memberitahu, ia bermula secara kebetulan selepas memulakan projek tanaman kelapa mawar dan wangi di atas tanah miliknya yang terletak di Kampung Jubakar, dekat sini.
"Sebaik sahaja melihat mayang kelapa, terlintas di fikiran kenapa saya tidak cuba untuk menghasilkan tuak. Jadi bermula dari situlah saya belajar menghasilkan minuman tersebut.
"Masa mula-mula belajar, hampir setiap hari saya datang untuk melihat hasilnya. Selepas lapan hari barulah mayang kelapa tersebut mengeluarkan hasil.
"Dari situlah saya belajar dan terus belajar sehingga pandai menghasilkan minuman tersebut," katanya.
Tambahnya, kemahiran menghasilkan tuak itu diperturunkan kepada anaknya Zuhairi, 30.
Sementara itu, seorang penggemar tuak, Hassan Ali, 44, dari Kampung Chabang Empat, Tok Mek Ngah, Tumpat memberitahu, dia menggemari minuman itu disebabkan aroma dan rasanya yang enak.
"Air tuak cukup lazat diminum bersama ais. Rasanya sedikit masam bercampur manis mampu memberikan kepuasan kepada para penggemarnya.
"Tidak hairanlah minuman ini mendapat permintaan yang tinggi di kalangan para penggemarnya yang tahu akan keenakan rasa minuman ini," katanya.
Hassan memberitahu, setiap kali tibanya Ramadan, tuak akan mendapat sambutan tinggi sebagai minuman yang perlu ada sewaktu berbuka puasa.
"Sekarang agak sukar untuk mendapatkan tuak yang asli. Kebanyakan yang dijual telah dicampur dengan air gula dan ia akan merosakkan keaslian minuman tersebut.
"Ini boleh memberi kesan kepada mereka yang meminumnya seperti sakit perut. Jadi saya menasihati mereka yang menggemari minuman ini supaya berhati-hati," ujarnya.



                                                                                                                                       sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment