Negeri di Pantai Timur ini mempunyai
potpuri budaya yang agak unik. Gabungan kaum Melayu, Cina, India dan
masyarakat Thailand berjaya menyatukan pelbagai hidangan kepada
'hidangan Malaysia' sekaligus menjadikan ia sebagai satu tarikan kepada
pelancong luar.
Anda mungkin tertawa tatkala mendengar
nama kuih seperti Tahi Itik, Kuih Kartun, Badak Berendam, Abang Balik
Gelisah, Che Abang Guling, Lompat Tikam, Lidah Buaya dan macam-macam
lagi nama yang diberi. Namun, di sebalik nama yang pelik itu, rasanya
amatlah lemak dan manis sekali.
Begitu juga dengan hidangan Nasi
Kerabu, Nasi Berlauk, Nasi Tumpang, Laksam atau Solok Lada yang
sinonim dengan Kelantan sehingga membuat anda terkenang-kenang keenakan
makanan itu.
Menurut Pengarah Pelancongan Negeri
Kelantan Muhammad Zaki Talib, Kelantan sememangnya kaya dengan pelbagai
jenis makanan yang 'eksotik' namanya namun itulah hakikat betapa
hebatnya aneka makanan tradisi negeri ini yang tidak akan kita jumpa di
tempat lain.
Kuih-muih dan makanan tradisional
Kelantan sebenarnya juga merupakan produk yang boleh dijual atas nama
pelancongan sebagai daya tarikan melawat negeri ini.
Dengan kekuatan tarikan makanan dan
kebudayaan ditambah dengan sikap ramah dan mudah mesra masyarakat
Kelantan, negeri ini sentiasa bersedia untuk menerima kunjungan
pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara, katanya.
Sebagai contoh, Pesta Makanan
Kelantan/Pesta Nasi 100 yang diadakan selama tiga hari bermula 01 Julai
2011 adalah bukti betapa kayanya masyarakat di negeri ini dengan
pelbagai jenis makanan. Pendek kata, Kelantan sememangnya tersohor
sebagai negeri yang mempunyai keunikan dan kepelbagaian makanan
tersendiri.
No comments:
Post a Comment