Walaupun kegembiraan itu tidak dapat dikongsi bersama ayahnya, tetapi Muhammad Luqman Hakim Haris, 18, masih ada ibu, Norhani Muhammad, 49, seorang suri rumahuntuknya berkongsi kejayaan itu.
Muhammad Luqman adalah antara tiga pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat memperoleh A dalam semua matapelajaran iaitu 4A+, 5A dan 1A-.
Dua lagi kawannya yang memperoleh keputusan 10A ialah Nurul Nadirah Ahmad dari Kampung Padang Tembesu dan Nurul Syahira Zulkifli dari Kampung Besut.
Fokus semasa guru mengajar
Muhammad Luqman yang menetap di Kampung Tujoh berkata, rahsia kejayaannya adalah sentiasa fokus setiap kali guru mengajar dalam kelas.
“Jika tak faham semasa guru mengajar, saya terus bertanya,” katanya ketika ditemui selepas keputusan SPM diumumkan di sekolahnya.
Menurutnya, pada waktu malam dia luangkan masa tiga jam untuk mengulang kaji pelajaran, dan juga mengikuti kelas tambahan di sekolah.
“Walaupun saya tidak dapat berkongsi kejayaan ini dengan ayah yang meninggal dunia lapan tahun lalu, tetapi saya berharap dengan kejayaan ini suatu hari nanti saya dapat mengubah nasib keluarga,” katanya.
Muhammad Luqman adalah anak ketiga daripada empat beradik dan adik bongsunya itu adalah hasil perkahwinan ibunya dengan suami baru.
Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2009, Muhammad Luqman memperoleh 9A.
SMK Tumpat muncul terbaik PPD Tumpat
SMK Tumpat muncul sekolah terbaik dalam PPD Tumpat apabila seramai tiga pelajarnya memperoleh 10A manakala di SMK Wakaf Bharu hanya dua pelajarnya memperoleh 10A.
Penolong kanan Pentadbiran, Jamari Othman berkata, bagaimanapun dari pencapaian peratus, ia merosot sedikit berbanding tahun lalu apabila mencatatkan 93.10 peratus dengan Gred Puratanya 4.83 peratus.
“Walaupun ada penurunan, tetapi saya bersyukur kerana bilangan calon yang memperoleh semua A adalah yang teramai di PPD Tumpat.
“Dari segi pencapaian peratus yang dicatatkan SMK Tumpat pada keputusan SPM ini, ia berada di kedudukan ke dua di PPD Tumpat dan SMK Tumpat mampu mengekalkan kedudukan itu selama tujuh tahun berturut - turut,” katanya.
Seramai 245 calon di SMK Tumpat menduduki peperiksaan SPM 2011, tiga orang mendapat 10A manakala 32 calon lagi mendapat 6A, 7A dan 8A.
No comments:
Post a Comment