Thursday, March 29, 2012

KELANTAN DAN PERAK LAMAR KIETE?


Perak mungkin terlambat dalam perebutan mendapatkan penyerang Guinea, Keita Mandjou, 32, bagi disenaraikan dalam Liga Super yang semakin sengit.
Kini, Perak terpaksa bersaing dengan Kelantan yang juga berminat menggunakan khidmat bekas penyerang import Seladang tahun 2004 yang lalu.
Kelantan telah bergerak lebih pantas bagi mengikat Keita apabila Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dilaporkan sudah berada di India sejak 25 Mac lalu.
Annuar dikatakan sedang mengadakan perbincangan dengan Keita untuk dibawa ke Kota Bharu dalam usaha memperkuatkan skuad pendahulu liga tersebut.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Perak ( Pafa ) berura-ura menghantar pegawainya ke India bagi menilai prestasi semasa Keita di Pune FC.
Namun begitu, tiada sebarang tarikh ditetapkan oleh Pafa untuk ke India bagi berbincang lebih lanjut dengan Keita.
Keita sedang beraksi dalam Liga India ( I-League ) bersama-sama kelab Pune FC yang mana berjaya memenangi anugerah Pemain Terbaik bagi musim 2010-2011 setelah muncul penjaring terbanyak dengan jaringan 13 gol bagi kelabnya.
Sebelum ini, Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharudin memberitahu bahawa Keita sedia mewakili Perak walaupun masih mempunyai ikatan kontrak dengan Pune FC sehingga bulan Jun depan.
Perak terpaksa mengambil penyerang baru apabila bekas penyerang remaja Serbia, Lazar Popovic gagal menemui sentuhan gol sejak menyarung jersi Perak.
Pafa sudah mengeluarkan notis penamatan kontrak Popovic mulai 1 April depan atas kegagalannya menjaringkan gol.
Rakannya, Michal Kubala akan terus bersama-sama skuad Seladang setelah mempamerkan persembahan mantap di bahagian tengah.
Kubala menyumbangkan lima gol dalam saingan Liga Super menjadi penjaring terbanyak Perak.
Sehubungan dengan itu, Perak telah menguji empat pemain dari benua Afrika bagi menggantikan Popovic   apabila tingkap pendaftaran pemain dibenarkan mulai 3 April depan.
Keempat-empat pemain itu dari Cameroon, Ghana, Zambia dan Liberia telah menjalani ujian pemilihan selama dua minggu.
Walau bagaimanapun, Presiden Pafa memberitahu bahawa keempat-empat tersebut telah pulang setelah gagal menepati ciri-ciri pemain import yang dikehendaki oleh Perak.
“Pafa akan kritik hebat oleh para penyokong jika gagal mengambil pemain import yang lebih baik berbanding Popovic,” jelas Zainol.
Oleh itu katanya, Perak terpaksa membuat penelitian yang lebih rapi bagi mendapatkan pengganti penyerang import tersebut.
Kini para penyokong Kejor Yeop Kejor ternanti-nanti samada Perak berjaya mengikat Keita atau Kelantan menyambarnya terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment