Tuesday, January 31, 2012

Wanita 'kuasai' pasar Hatyai


PASAR Siti Khatijah di Kota Bharu, Kelantan sememangnya menjadi lambang kegigihan kaum wanita mencari rezeki.
Majoriti peniaga di situ adalah wanita, bersesuaian dengan nama Siti Khatijah, isteri Rasulullah SAW yang juga seorang pedagang.
Namun, suasana kaum wanita Islam menjadi peniaga bukan sahaja dapat dilihat di Kota Bharu tetapi juga di Hatyai, Thailand.
Ketika mengikuti lawatan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Selama, Perak yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Mohammd Rodzi Awang Kechek baru-baru ini, penulis berkesempatan meninjau kemeriahan pasar tersebut terutamanya di waktu pagi.
Di mana-mana sudut di pasar itu anda akan menemui peniaga-peniaga wanita tekun menjalankan perniagaan mereka.
Pelbagai barangan keperluan harian diniagakan dari sayur-sayuran hinggalah kepada rempah ratus.
Apa yang menarik, pasar Hatyai bukan sahaja melambangkan kegigihan kaum wanita Islam, tetapi juga bukti bahawa tiada diskriminasi dilakukan oleh pemerintah Thailand terhadap masyarakat Islam.
Peniaga-peniaga Islam dapat menjalankan perniagaan mereka dengan tenang tanpa apa-apa gangguan dan paling mendapat perhatian ialah hubungan erat mereka dengan warga Thailand yang lain.
Di pasar Hatyai, wanita Islam yang berniaga terdiri daripada pelbagai peringkat umur dari remaja hinggalah ke warga emas.
Pelbagai gelagat dapat dilihat semasa mereka menjalankan urusan tersebut terutamanya ketika tawar-menawar dengan pelanggan.
Kehadiran peniaga wanita di situ, dianggap daya penarik utama kepada orang ramai, malah pelancong asing juga kagum melihat suasana di pasar itu.
Mereka melihat kegigihan kaum wanita yang menjual pelbagai barangan dari awal pagi hinggalah ke petang.
Apa pun, Hatyai hakikatnya baru bangkit semula selepas dilanda banjir besar bulan lalu. Bencana alam itu dikatakan mengakibatkan seluruh bandar Hatyai ditenggelami air.
Akibat bencana tersebut industri pelancongan Hatyai terjejas teruk manakala peniaga-peniaga mengalami kerugian cukup besar.
Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat mereka, sebab itulah apabila banjir pulih, peniaga-peniaga kembali menjalankan perniagaan mereka dengan tekun.
Pasar Hatyai sememangnya cukup terkenal dalam kalangan penduduk tempatan kerana di situ segala keperluan harian bukan sahaja boleh diperolehi dengan mudah tetapi juga harganya murah.
Malahan ada rakyat Malaysia turut membeli-belah di pasar tersebut terutamanya rempah ratusnya yang dikatakan cukup enak.
Sememangnya, selama dua jam membuat tinjauan di pasar itu, penulis tertarik dengan gelagat kaum wanita Islam di situ.
Ia menjadi bukti bagaimana kaum wanita sememangnya hebat dalam perkara berkaitan perniagaan.
Menjelang petang, operasi pasar berkenaan agak perlahan kerana peniaga-peniaga sudah menutup perniagaan mereka, tetapi sesuatu yang perlu dicontohi ialah bagaimana mereka menjaga kebersihan.
Walaupun pasar Hatyai sentiasa sesak, namun kebersihannya tidak terdapat di sebahagian besar pasar di negara kita. Ia kerana kebersihan menjadi perkara yang paling dititikberatkan.
Sesungguhnya kegigihan kaum wanita dan kebersihan pasar Hatyai perlu diteladani serta dicontohi.

sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment