KOTA BHARU – Universiti Limkokwing berhasrat membina sebuah kampus
tetap di Machang, Kelantan sekali gus menjadikan negeri ini hab
operasinya di wilayah Pantai Timur.
Naib Presidennya, Raja Aznil Raja Hisham berkata, kerja-kerja awal
membabitkan topografi tanah telah dilakukan di tapak kampus berkenaan
seluas kira-kira lapan hektar.
Beliau berkata, pembinaan kampus itu yang berkonsepkan mesra alam,
merupakan sebahagian daripada perancangan perluasan operasi universiti
berkenaan di seluruh negara yang turut membabitkan cadangan membina
kampus di Wilayah Iskandar, Johor untuk zon Selatan dan Langkawi, Kedah
bagi zon Utara.
“Kos pembinaan kampus berkenaan masih belum dapat diputuskan, ia
bergantung kepada reka bentuk kampus yang dijangka mengambil masa selama
kira-kira tiga tahun untuk siap,” katanya kepada pemberita di sini,
hari ini.
Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian
persefahaman (MoU) antara universiti itu dengan kerajaan negeri Kelantan
membabitkan pelaksanaan program pembangunan modal insan di sini.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Besar,
Datuk Ahmad Yakob. Majlis MoU itu diadakan sempena Karnival Kerjaya dan
Keusahawanan Kreatif Kelantan 2011 selama dua hari berlangsung di Pusat
Dagangan Kelantan (KTC) di sini.
Melalui perjanjian tersebut, pihak universiti tersebut yang akan
beroperasi di bangunan sementara di Wisma Yakin dekat sini, akan
mengambil seramai 200 pelajar terutama bekas pelajar Yayasan Islam
Kelantan (YIK) untuk mengikuti program pengajian profesional diploma.
Menurut Raja Aznil, pengambilan tersebut akan dilakukan pada April
tahun depan membabitkan kursus-kursus seperti kreatif, animasi, bunyi
dan digital bagi tempoh dua tahun.
Beliau berkata, cadangan membina kampus di Kelantan telah lama
dirancang mengambil kira peluang yang ada di negeri ini dan kampus yang
bakal dibina itu dijangka mampu menampung sehingga 9,000 pelajar apabila
siap sepenuhnya.
Mengenai MoU yang ditandatangani, beliau berkata, ia membabitkan
pembangunan modal insan di kalangan anak-anak tempatan khususnya
bumiputera dari segi industri kreatif.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, pihak kerajaan negeri akan memilih
bekas pelajar terbaik YIK untuk mengikuti program di universiti
berkenaan dengan kos pengajian akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak
kerajaan supaya mereka kelak dapat memberi sumbangan ke arah pembangunan
negeri.
//utusan malaysia
No comments:
Post a Comment